Monday, September 22, 2008

Hangat-hangat tahi ayam. Demikianlah perumpamaan yang sesuai menggambarkan manusia yang melakukan pekerjaan dengan tidak berterusan. Hanya bersemangat pada awalnya sahaja. Apatah lagi dalam kerja-kerja amal, konsistensi atau istiqamah sangat penting, kerana jika tidak, ia akan berhenti begitu sahaja.. Alangkah ruginya !

TANGGUNGJAWAB

Sebagai manusia yang dipertanggungjawabk an di muka bumi ini sebagai khalifah di samping menghambakan diri kepada-Nya, harus diingat bahawa kita tidak hidup dengan bersendirian. Kita berada dalam lingkungan manusia yang pelbagai ragam. Oleh itu, seharusnya kita memahami bahawa cabaran-cabaran yang timbul dalam lingkungan masyarakat ini seharusnya tidak memberi kesan terhadap konsistensi kita dalam menyampaikan risalah amal ma’aruf nahi mungkar.Memikul amanah itu amatlah berat, lebih-lebih lagi amanah Allah. Maka, segala yang terbaik harus kita curahkan dalam memikul amanah ini. Allah SWT berfirman dalam Al-Quran menerusi Surah Ali-Imran, ayat 104 yang bermaksud :“Dan hendaklah ada di antara kamu satu umat (golongan) yang menyeru kepada kebaikan, menyuruh dengan yang ma’aruf (yang baik) dan melarang dari yang mungkar dan mereka itulah orang-orang yang berjaya”.Juga dalam Surah Ali-Imran, ayat 110 yang bermaksud :“Dan kamu adalah sebaik-baik umat yang dilahirkan bagi manusia (supaya) kamu menyuruh dengan ma’aruf dan mencegah dari kemungkaran serta beriman kepada Allah”.Suruhan Allah jelas. Walau bagaimanapun, hanya segelintir yang memilih untuk berada di jalan Allah. Kita adalah insan-insan pilihan Allah. Oleh itu, manfaatkanlah peluang yang ada. Jangan sesekali kita cuba lari daripada landasan mulia ini. Walau bagaimanapun, tidak bermakna bahawa apabila terlibat sahaja dalam gerak kerja Islam, kita terlepas daripada taklif Tuhan, tetapi tanggungjawab selepasnya adalah lebih berat lagi kerana kita memikul amanah, perkara yang paling berat di dunia. Banyak yang perlu dikorbankan dan banyak juga yang perlu dijaga, khususnya niat (yang utama), keikhlasan, konsistensi dan sebagainya. Maka, pada peringkat inilah ada yang mula goyah apabila diasak dengan cabaran-cabaran lantaran asas yang tidak kukuh.

MENGAPA SUSAH NAK ISTIQAMAH ?

Perlu difahami bahawa hidayah Allah itu dikurniakan hanya untuk orang-orang yang mencarinya dan gemar untuk mendapatkannya. Dan Rasulullah SAW bersabda :“Barangsiapa yang Allah SWT kehendaki kebaikan baginya, maka Allah SWT akan memberikan pemahaman agama kepadanya”. (HR Bukhari & Muslim)Memang diakui bahawa untuk istiqamah melakukan kebaikan bukannya mudah. Bahkan ada yang sanggup meninggalkan tugas mulia ini. Persoalannya, mengapa memilih jalan untuk lari daripada hidayah Allah ini? Tersangatlah rugi jika mengatakan bahawa tidak sanggup lagi untuk terus berjuang kerana tidak tahan dengan kesusahan atau takut terganggu pelajaran. Adakah kita lupa pada janji Allah dalam Surah Muhammad, ayat 7 yang bermaksud :“Wahai orang-orang yang beriman, jika kamu membantu agama Allah, nescaya Dia akan membantu kamu dan meneguhkan kedudukanmu”.Dan tidak dinafikan, rakan-rakan juga sangat mempengaruhi. Justeru itu, penting untuk kita menjaga pergaulan dan memilih sahabat. Pada dasarnya, kita boleh sahaja bersahabat dengan sesiapa pun, tetapi asalkan jati diri kuat, yakni tidak mudah terpengaruh dengan anasir-anasir negatif. Jika terjadi sekalipun, maka seharusnya kitalah yang berperanan untuk meneutralkan kembali atau mempositifkan perkara-perkara yang bersifat negatif.Dalam pada itu, musuh-musuh Allah juga tidak akan duduk diam. Mereka juga akan terus aktif menyebarkan propaganda. Maka janganlah sesekali kita terpengaruh dengan anggapan bahawa sikap iltizam (konsisten) dalam agama merupakan penyebab sikap ekstrim, pengganas, kaku, ketinggalan dan sebagainya. Propaganda ini semuanya adalah dari Israel dan konco-konconya. Semua ini bertujuan menimbulkan kegoyahan di hati umat Islam, lebih-lebih lagi buat yang berdiri di atas landasan suci ini.Di samping itu, keluarga juga memainkan peranan yang penting, terutama ibu bapa. Bukan semua ibu bapa yang memahami tugas dakwah ini. Bukan semuanya boleh menerima jika anak-anak mereka berkorban dalam kerja-kerja amal ini. Lebih-lebih lagi ketika masih dalam pengajian. Mereka lebih khuatirkan akan prestasi akademik. Malah mungkin ada yang menghalang sama sekali anak-anak mereka terlibat dalam apa-apa jua yang dianggap bukan berbentuk akademik. Ibu bapa di zaman ini tidak boleh kita samakan dengan ibu bapa di zaman Rasulullah yang merelakan anak-anak mereka berjihad di jalan Allah untuk mencapai syahid cita-cita tertinggi. Maka, hal ini mungkin saja boleh menjadi sesuatu yang menyebabkan hati kita berbolak-balik. Oleh itu, persiapkanlah diri dalam menghadapi mehnah dan tribulasi dalam perjuangan ini. Allah SWT berfirman dalam Surah Al-Ankabut, ayat 2 yang bermaksud :“Apakah manusia mengira bahawa mereka akan dibiarkan begitu sahaja mengatakan kami beriman dan mereka tidak akan diuji?”.

BUKAN YANG PERTAMA DAN TERAKHIR

Rasulullah SAW bersabda :“Orang yang paling besar cubaannya iaitu para Nabi, kemudian yang sepertinya dan sepertinya, sesorang itu dicuba sesuai dengan kemampuan agamanya dan apabila semakin kuat imannya, maka kuat cubaanya”. (HR Ahmad & Tirmidzi)Oleh itu, jelas bahawa kita bukanlah orang yang pertama kali dicuba dan bukan juga yang terakhir. Perlu diingat bahawa jalan seorang pendakwah itu bukan diiringi dengan keindahan dan kesenangan, tetapi jalan seorang pendakwah itu penuh dengan duri dan onak berliku. Itulah realitinya. Justeru itu, tetap dan teguhlah berada di atas jalan jihad ini dan yakinlah dengan janji Allah untuk hamba-hambaNya yang beriman.Wallahu’alam

Dipetik dari
Asmah Andy

No comments: